ATLET gimnastik negara yang mencipta sensasi di Sukan Asia Hangzhou 2022, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisam menzahirkan rasa syukur selepas berjaya membawa pulang pingat gangsa sekali gus menamatkan penantian 17 tahun.

Menurut Sharul, kejayaan ini sekali gus menebus kehampaannya di beberapa siri temasya sukan sebelum ini.

“Saya memang bersyukur selepas menang pingat gangsa ini.

"Saya hampir menangis sebab ketika dia Sukan SEA, Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel lalu, saya tak dapat menang pingat.

“Jadi, bila pergi ke Sukan Asia ini, saya betul-betul meletakkan sasaran untuk bawa pulang pingat. Setidaknya saya tidak dikecam lagi.

“Ketika latihan pun saya tidak ada buat silap. Saya gembira bila dapat bawa balik sesuatu buat negara selepas 17 tahun,” katanya kepada MH.

Anak jati Terengganu ini berkata demikian ketika ditemui pada program makan malam bersama media malam tadi.

Sementara itu, Sharul yang ketika ini sedang mengumpul dana untuk misi ke Sukan Olimpik turut memaklumkan dirinya terbuka untuk menerima sebarang tawaran berlakon atau muncul di dalam iklan asalkan tidak mengganggu rutin latihan.

“Sebelum ini, saya pernah muncul sebagai cameo untuk sebuah drama di platform penstriman. Namun, itu pun saya sudah rasa agak mencabar.

“Walaupun babak saya hanya sekejap, tetap ambil masa dua hari untuk penggambaran. Sekadar mencuba itu mungkin boleh buat saya,”

“Saya tak perlu minta kebenaran persatuan sebab kalau ada jadual melibatkan kerja luar, saya akan buat pada waktu malam atau hujung minggu. Ia tak ganggu waktu latihan saya.

“Ketika ini pun, tawaran kerja di luar memang tidak mengganggu prestasi saya. Dah banyak kali juga saya ada program penggambaran di luar, proses latihan saya juga tak terganggu,” ujarnya lagi.

Ditanya adakah dia akan bergerak aktif di dalam dunia lakonan selepas bersara nanti, atlet berusia 22 tahun mendedahkan dirinya tetap mahu menabur bakti untuk sukan gimnastik.

“Kalau ada peluang, mungkin saya boleh cuba tapi fokus saya mungkin lebih kepada untuk menjadi jurulatih selepas bersara nanti.

"Memang impian saya untuk bawa pelapis ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Pada masa sama, Sharul turut memaklumkan dirinya belum bersedia untuk memikirkan soal cinta kerana banyak lagi pencapaian yang belum diraihnya saat ini.

“Buat masa sekarang, saya masih single. Kini fokus saya adalah untuk mengejar impian saya dahulu. Saya belum lagi mencapai sasaran yang saya mahukan.

“Saya mahu ke Sukan Olimpik dan menangi banyak pingat dahulu. Selepas itu mungkin baru saya fikir untuk mencari pasangan.

“Jujurnya saya tak pernah bercinta. Minat pada seseorang itu ada tapi sekarang, saya banyak berkawan sahaja. Kalau nampak saya bersama perempuan di luar, itu hanya sekadar kawan.

“Saya tiada kawan di luar. Semuanya kawan-kawan di MSN dan UPM. Atlet lain mungkin tiada masalah untuk bercinta tapi bagi saya, belum masanya lagi,” akhirinya.

Pada 29 Sept lepas, Sharul Aimy menamatkan kemarau selama 17 tahun negara tanpa sebarang pingat dalam sukan tersebut setelah berjaya meraih gangsa dalam acara melombol lelaki di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Sharul difahamkan memerlukan dana sebanyak RM300,000 sebagai persediaan untuk misi ke Sukan Olimpik Paris 2024. -Media Hiburan